Mekanisme pertahanan Aposematisme

Warna-warni sotong katak ranggi memberikan amaran ketoksikan

Aposematisme merupakan suatu mekanisme pertahanan utama yang mengingatkan pemangsa akan satu lagi mekanisme pertahanan sampingan. Pertahanan utama berfungsi sebelum pemangsa melancarkan sebarang kelakuan menangkap mangsa, dan fungsinya adalah untuk menghindarkan diri daripada dikejar.[3] Kaedah pertahanan sampingan organisma itu mungkin berupa:

Ketidaksedapanseperti rasa pahit yang timbul daripada sesetengah serangga seperti kumbang kura-kura atau rama-rama harimau, ataupun bau busuk yang dirembeskan oleh skunk, atau:Ketoksikan dan bahaya lainseperti kelenjar bisa katak panah bisa, sengat semut baldu atau neurotoksin dalam labah-labah janda hitam.

Dalam contoh-contoh tersebut, organisma itu menghebahkan keupayaannya dengan warna-warni yang terang bagi kumbang kura-kura, katak dan labah-labah itu; ataupun dengan belang yang jelas kelihatan seperti skunk itu. Pelbagai jenis rama-rama harimau menghebahkan ketidaksedapannya sama ada dengan menghasilkan ultrabunyi yang menghindarkan kelawar,[4] ataupun dengan postur amaran yang mendedahkan anggota badan yang berwarna terang, ataupun memperlihatkan "tompok mata". Semut baldu berwarna-warni terang dan menghasilkan bunyi apabila diserang untuk menguatkan amaran.

Isyarat aposematik pada amnya bersifat tampak dan melibatkan warna-warna yang terang dan berkontras, tetapi boleh diiringi oleh beberapa lagi isyarat selain warna, seperti bau, bunyi atau kelakuan yang tertentu. Oleh itu, pemangsa berdepan dengan isyarat berbilang ragam yang lebih mudah dikesan.[5]